PENGALAMAN PERTAMA SUPERKIDS MENJADI FOOTBALL PLAYER ESCORT

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Hari ni As nak ajak u olls baca sharing dari anak sulung saya Superkid Alief Haiqal tentang pengalaman pertama beliau dan 2 orang adiknya menjadi pengiring pemain bola sepak.

Untuk maklumat u olls, di rumah Superkid Alief Haiqal ni kami panggilnya Along (bukan abang long kawasan tau hehehehe). Along ni akan menghadapi Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) pada bulan September 2015 nanti.

Di kesempatan yang ada, As bagi peluang Along untuk menulis karangan tentang pengalamannya ini, sebagai latihan tambahan untuknya. Harap u olls sudi layan cerita Along sehingga tamat yek dan boleh bagi komen juga. 

Lagi bagus kalau ada cikgu Bahasa Melayu darjah enam yang berminat nak tolong semak dan nilai karangan Along ni kan.

Inilah ceritanya.
======================================================

Saya Superkid Alief Haiqal akan menceritakan pengalaman pertama kami 3 beradik menjadi pengiring pemain bola sepak.

Pada hari Jumaat 7 Ogos 2015, mama saya menerima panggilan telefon daripada Cik Rose, rakan sepejabatnya, sekitar jam 7:00 malam. Sewaktu itu mama baru mengambil saya dan adik-adik saya dari rumah pengasuh kami di Jalan Helang yang jaraknya lebih kurang 5 km dari rumah kami.

Mama memberitahu kami bahawa Cik Rose mengajak kami 3 beradik untuk menjadi pengiring pemain bola sepak (Football Player Escort) pada perlawanan malam tersebut. Perlawanan antara JDT2 menentang Pulau Pinang dilangsungkan di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG).

Mama saya terus menghubungi ayah saya untuk memohon kebenaran bagi pihak kami 3 beradik untuk menyertai pasukan pengiring tersebut. Saya begitu berharap supaya ayah saya akan membenarkan kami 3 beradik untuk pergi ke stadium. 

Syukur Alhamdulillah, kami memdapat keizinan daripada ayah dengan bersyarat. Syaratnya adalah, kami perlu menguruskan peralatan sekolah kami dan membantu mama mengemas rumah pada hari Sabtu keesokan harinya. Kami 3 beradik pun bersetuju. 

Kami pun segera bersiap dengan pakaian sukan dan berkasut sukan juga. Kami dikehendaki membawa kasut boot masing-masing untuk digunakan di padang nanti. Hah, air masak pun kami bawa juga.

Dalam 30 minit berikutnya, Cik Rose pun sampai di rumah kami untuk menjemput kami dan pergi ke stadium. Cik Rose tidak membenarkan kami untuk membawa botol air tersebut masuk ke dalam stadium. Menurut Cik Rose, sebelum ini pernah berlaku kejadian di mana seorang penyokong membaling botol air kepada pemain pihak lawan.

Kami tiba di stadium, selepas 20 minit perjalanan yang mengalami sedikit kesesakan di mana pekerja kontrak mengetar jalan yang berlubang. Kami di arahkan untuk bersiap sedia dengan baju jersi JDT yang disediakan oleh pihak pengurus pasukan pengiring. Kami juga memakai boot masing-masing.

Selepas semua pengiring bersiap, kami diminta berbaris mengikut ketinggian, yang rendah di hadapan dan yang tinggi di belakang. Kemudian kami dilatih cara untuk masuk dan keluar padang sebanyak 2 kali. Pada ketika itu kami melihat para pemain kedua-dua pasukan sedang memanaskan badan di padang.

Kemudian kami duduk di tangga stadium sementara menunggu pemain bersedia. Selepas kira-kira 3 minit, kami beratur semula bersama-sama pemain kedua-dua pasukan. Setiap pengiring dikehendaki memimpin tangan seorang pemain. 

Saya memimpin tangan pemain Pulau Pinang yang berjersi nombor 2, entah  saya. Adik saya Superkid Aideil Haqimi pula memimpin tangan pemain JDT2 yang berjersi nombor 9 iaitu Shafiq. Manakala adik saya Superkid Adam Hiqmal memimpin tangan pemain Pulai Pinang yang berjersi nombor 19.

Kami mula memasuki padang pada jam 8.30 malam sambil mengiring pemain yang telah ditetapkan. Kemudian kami berbaris di hadapan pemain masing-masing dengan menghadap tiang bendera. Lagu Bangsa Johor dan lagu Negara Ku dipasang dan semua pemain dan penyokong berdiri. Lagu Negeri Pulau Pinang pula dinyanyikan oleh penyokong Pulau Pinang secara beramai-ramai.

Selepas nyanyian tamat, kami pun duduk di tempat masing-masing untuk menyaksikan perlawanan malam itu. Seawal minit ke 28, pemain Pulau Pinang bernombor 10 berjaya membolosi gawang pintu gol JDT 2 dan menghasilkan 1 sepakan gol. Perlawanan berlanjutan hingga ke akhir separuh masa pertama dengan kedudukan kekal Pulau Pinang 1 dan tiada jaringan untuk pasukan JDT 2.

Pada waktu rehat separuh masa pertama, kami beratur untuk mengambil makanan dan minuman. Hidangan makan malam kami adalah Nasi Ayam dan air kotak berperisa mangga. Kemudian kami mengunyah kepingan Vitalea for kids untuk kesihatan berpanjangan. Syukur Alhamdulillah rezeki kami malam itu.

Selepas makan, kami kembali ke tempat duduk kami tadi untuk menyaksikan perlawanan di separuh masa kedua. Pada minit ke-59, pemain Pulau Pinang berjersi nombor 10 mengambil sepakan percuma (free kick) dari luar kotak penalti dan menghasilkan 1 lagi jaringan gol.

Berikutnya, pemain JDT 2 berjersi nombor 19 iaitu Alif, telah dilayangkan kad kuning oleh pengadil kerana beliau telah membetis kaki pemain Pulau Pinang pada minit ke-60.

Perlawanan berlanjutan sehingga minit ke-64, di mana pemain JDT 2 berjersi nombor 5 pula dilayangkan kad kuning. Ini membuatkan pasukan JDT 2 berasa kecewa dengan keputusan pengadil. Berikutnya, sekeping lagi kad kuning dilayangkan oleh pengadil untuk penjaga gol Pulau Pinang kerana membantah keputusan pengadil.

Selepas minit ke-70, pemain Pulau Pinang berjersi nombor 19, dengan sengaja menjatuhkan dirinya dan menyebabkan pengadil melayangkan kad kuning untuknya. Di minit ke-75, pemain Pulau Pinang berjersi nombor 17 pula menjaringkan gol yang ke-3 untuk Pulau Pinang.

Saya menyangka bahawa JDT 2  akan membelasah Pulau Pinang 2-1 .Tetapi ramalan saya salah. Pada
minit ke-78 pemain JDT 2 yang berjersi nombor 5 dilayangkan kad kuning kedua dan dilayangkan kad merah buat pemain berjersi nombor 5 dan diminta keluar dari kawasan padang.

Pada minit ke-85, pemain Pulau Pinang berjersi nombor 21 dengan sengaja menjatuhkan dirinya supaya pengadil memberikan kad kuning kepada pemain JDT 2. Selepas perlawanan kami semua diminta untuk menukar baju masing-masing dan memulangkan baju jersi yang digunakan semasa perlawanan. 

Selepas menukar pakaian, saya dan adik-adik saya keluar dari stadium. Saya ternampak guru kelas saya semasa darjah 3 iaitu Cikgu Jauhari. Saya cuba menegur cikgu Jauhari, tetapi beliau kelihatan agak sibuk. 

Saya berasa bersyukur kerana dapat menjadi FOOTBALL PLAYER ESCORT buat pertama kali. Ini adalah pengalaman yang berharga untuk saya. Jika ada soalan menulis pengalaman pertama ku di UPSR nanti, saya pasti akan memilih tajuk ini juga. 

Saya berharap akan ke stadium lagi selepas ini untuk merasai keseronakan di sana. Inshaa Allah.
======================================================

Begitulah kisahnya, pengalaman Superkids Alief Haiqal, Aidiel Haqimi dan Adam Hiqmal. Harap u olls enjoy membacanya. 

Ini ada gambar kenangan mereka.


Gambar bersama pemain bola sepak akan di terima kemudian. Nanti As upload kat sini okay.

Mudah-mudahan Superkids mama sentiasa sihat, positif & ceria membesar bagai juara dan menjadi anak soleh. Aamin.

Sekian saja nukilan As & Superkids anak-anak syurga.
Nanti kita jumpa lagi ya...

Wasalam,



Sememangnya entri ini bermanfaat untuk orang lain di luar sana.
Anda dipersilakan untuk LIKE & SHARE entri ini.
Tahniah kerana anda telah berjaya memberi manfaat kepada orang lain.
Semoga Allah merahmati & mempermudahkan urusan anda.
Anggaplah ini SAHAM KUBUR untuk anda. Wallahualam.

Comments